Kamu seorang peminat motosikal berkuasa tinggi Ducati? Sudah pasti para peminat Ducati Malaysia terutamanya di Pinang akan seronok apabila mendengar bahawa Ducati sudah membuka Pusat Servis 3S mereka sendiri di Pinang. Ikuti berita selanjutnya melalui Harian Metro.
Sumber: Harian Metro
Georgetown: Next Bike Sdn Bhd (Next Bike) pengedar tunggal Ducati Malaysia membuka Pusat 3S (jualan, perkhidmatan dan alat ganti) di Pulau Pinang bagi memenuhi keperluan dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya di wilayah utara.
Pembukaan itu membabitkan pelaburan berjumlah RM1.5 juta di atas kawasan seluas kira-kira 10,000 kaki persegi di bangunan empat tingkat di Jalan Datuk Keramat, menjadikannya yang pertama di wilayah utara dan juga keempat di seluruh negara selepas dua di Kuala Lumpur dan satu di Sungai Buloh, Selangor.
Naib Presiden Naza Two Wheel, Nik Danial Nik Mahmood berkata, pihaknya juga merancang membuka dua lagi pusat 3S di Johor Bahru, Johor dan Kuching, Sarawak dalam tempoh suku pertama tahun depan.
“Pusat 3S ini adalah yang keempat dilancarkan di Malaysia dan menjadi yang pertama di kawasan wilayah utara ini kerana wilayah ini khususnya Pulau Pinang mempunyai pasaran besar dan mempunyai ramai pemilik motosikal Ducati,” katanya selepas majlis perasmian Pusat 3S itu, di sini, semalam.
NIK Danial (kiri) bersama Pierfrancesco (kanan, duduk) melihat model Ducati di ruang pameran Pusat 3S Ducati di Pulau Pinang.
Hadir sama Pengurus Besar Ducati Asia Pierfrancesco Scalzo, Pengurus Besar Next Bike Sdn Bhd C W Juan dan Pengarah Ducati Penang Kheoh Hock Seng.
Pusat 3S terbabit menyediakan bilik pameran lengkap dengan pelbagai model terbaru motosikal jenama itu termasuk Monster, Diavel, Hypermotard, Hyperstrada, Multistrada, 899 dan Panigale 1199 Panigale.
Nik Danial berkata, Pusat 3S Ducati di Pulau Pinang itu mampu menyediakan akses kepada jenama yang terkenal di dunia serta menawarkan gaya hidup premium kepada pelanggan dan bakal pelanggan di negeri itu dan juga wilayah utara.
“Kami akan membuka Pusat 3S di Johor Bahru dan Kuching dan merancang memperluaskan cawangan ke Pantai Timur pada 2015.” katanya.

