Tuesday, 26 November 2013

Hasrat PAS Bermuzakarah, Umno Wajar Beri Respons Positif - Muhyiddin

By on 08:17
KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Umno wajar memberi respons positif terhadap usul PAS untuk bermuzakarah dengannya seperti disuarakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Timbalan Presiden Umno itu berkata PAS boleh mengemukakan secara rasmi menjelaskan maksud muzakarah itu, sama ada membincangkan hal berkaitan Islam sahaja atau yang lebih besar dari itu.

Jika perkara itu dapat disampaikan, Umno akan meneliti kandungan topik khususnya untuk kepentingan umat Islam dan negara, katanya mengulas hasrat presiden PAS itu.

"Kalau tujuan untuk wujudkan kerjasama dan perpaduan antara umat Islam yang didokong oleh Umno dan PAS, manfaat ada untuk Islam dan negara, saya kira satu langkah yang wajar dan kita harus beri respons yang positif," kata Muhyiddin.

Timbalan Perdana Menteri menyatakan pendirian ini selepas menutup Latihan Amal Krisis Siber Negara 2013 (X-Maya 5) di sini Selasa.

Muhyiddin menyifatkan kenyataan Abdul Hadi itu dalam ucapan penangguhan Muktamar PAS ke-59 di Shah Alam Ahad lalu sebagai kenyataan yang ikhlas.

"Kalau hal itu baik, lagi cepat lagi baik (dilaksanakan)," katanya.

Abdul Hadi ketika berucap menyatakan kesediaan untuk mengadakan muzakarah dengan Umno namun terbatas kepada hal ehwal Islam.

Beliau turut menegaskan kerjasama itu adalah bagi kepentingan umat Islam di negara ini.

Sementara itu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) berharap muzakarah antara Umno dan PAS dapat disegerakan kerana ia memberi kesan positif kepada budaya baharu politik Melayu-Islam.

Yang di-Pertuanya Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan berkata, sudah tiba masanya untuk pemimpin kedua-dua parti terbesar mewakili Melayu berlapang dada dalam menangani isu yang menyentuh kepentingan agama dan bangsa.

"Yadim juga menyeru supaya semua pihak menyokong usaha ini kerana permuafakatan sesama Islam adalah tuntutan agama.

"Usaha ini mempunyai nilai yang sangat tinggi dan hanya mereka yang berjiwa kecil sahaja tidak menginginkan usaha ini dilaksanakan," katanya.

Beliau menambah Yadim menyokong penuh sebarang usaha mengadakan muzakarah itu dan berpendapat kenyataan pemimpin kedua-dua parti Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang wajar disambut secara positif.

Asyraf Wajdi juga berkata umat Islam sudah mulai jemu dengan polemik kepartian dan pertelingkahan politik yang tidak berkesudahan, hingga ada yang menggadaikan prinsip dan kepentingan agama serta bangsa.

-- BERNAMA

Kang Gary Running Man Datang ke Malaysia Tahun Depan?

By on 08:14

Siapa yang tak kenal dengan Gary? Jum saya kenalkan. Gary atau nama sebenarnya Kang Hee-gun yang sering digosipkan bercinta dengan Song Ji Hyo di dalam RM(Running Man) dikatakan bakal menjejakkan kaki dan menemui para peminatnya di Malaysia pada tahun hadapan.
Namun kedatangan Gary ke Malaysia bukanlah sebagai wakil daripada program RM terkenal tersebut, sebaliknya penyanyi rap itu akan tiba bersama teman penyanyi, Gil Seong-jeon bersempena dengan showcase pertama mereka di Asia dengan membawa nama kumpulan duo hip hop Leessang.
Untuk pengetahuan anda, duo hip hop yang dikenali sebagai Leessang ini akan mengadakan Leessang 1st Asia Showcase in Malaysia pada 11 Januari 2014 jam 7 malam bertempat di KWC Fashion Mall. Agak-agak korang pergi tak? Kalau ya sila jawap di ruang komen ya.
Bagi mereka yang meminati Gary dan Gill, anda boleh mendapatkan tiket pra-jualan bermula dari 30 November 2013 dari jam 11 pagi hingga 7 petang di Viva Mall, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila layari laman Facebook rasmi Leessang untuk mendapatkan penjelasan dan maklumat lanjut.
Nak kongsi sesuatu? Sila kongsi bersama di ruang komen.



Malaysia Perlu Banyak Pembangunan Transit

By on 08:05
KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) - Perancang bandar, pemaju dan pengendali pengangkutan awam Malaysia, harus bekerjasama untuk menawarkan pembangunan berorientasikan transit (TOD) di negara ini.

Kuala Lumpur adalah bandar raya yang telah lama maju tetapi tidak menerapkan konsep TOD, dan oleh itu ia kini menghadapi cabaran dalam perancangan melancarkan jaringan pengangkutan awam berskala besar yang termasuk transit aliran massa (MRT), kata penceramah di Sidang Kemuncak Pengangkutan Bandar dan MRT di sini hari ini.

TOD merujuk kepada kawasan kediaman dan komersil bercampur yang direka bentuk untuk memaksimumkan akses kepada pengangkutan awam, dan biasanya menggabungkan ciri-ciri untuk menggalakkan penumpang transit.

"Untuk mereka bentik TOD yang menarik, keadaan tempatan harus diambil kira. Di Malaysia, cuaca tidak sesuai untuk orang ramai berjalan jauh, sebagai contoh, apabila berhenti di perhentian bas dan berjalan ke pejabat," kata Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh, pengerusi eksekutif Express Rail Link Sdn Bhd.

Scott Dunn, Naib Presiden Pembangunan AECOM Malaysia turut berkongsi sentimen yang sama.

TOD itu boleh membantu sesebuah banda raya meningkatkan kecekapan operasinya, mencipta gaya hidup jejak karbon rendah, mempercepatkan proses pembangunan semua kota dan membantu meningkatkan nilai tanah, kata beliau.

Menurut Lee Choy Hin, pengarah urusan G&P Highways and Transportation Sdn Bhd pula, pembangunan Iskandar di Johor adalah contoh yang baik projek Malaysia yang telah menerapkan konsep TOD.

-- BERNAMA

Pemain Bola Sepak Pahang, Ganjaran RM30,000 Seorang Untuk Pegawai

By on 07:58
KUANTAN, 26 Nov (Bernama) -- Kerajaan Pahang mengumumkan pemberian ganjaran wang tunai RM30,000 seorang kepada pegawai dan pemain skuad bola sepak Pahang yang menjuarai Piala Malaysia 2013.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata pemberian itu sebagai menghargai usaha dan perjuangan skuad Tok Gajah selama 21 tahun sehingga berjaya merangkul piala berprestij itu.

"Kami berharap pemain dapat memanfaatkan pemberian daripada kerajaan negeri ini.

"Jika pasukan Tok Gajah berjaya mempertahankan kejuaraan tahun depan, InsyaAllah kita mungkin akan menggandakan ganjaran dua atau tiga kali ganda daripada yang diberi hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada jamuan malam dan ramah mesra bersama pasukan itu di sini.

Turut hadir Tengku Muda Pahang yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, Setiausaha kerajaan negeri Datuk Seri Muhammmad Safian Ismail dan pemain-pemain pasukan Pahang.

Dalam pada itu, Adnan turut memuji semangat juang dan disiplin tinggi pasukan itu sehingga berjaya merangkul kejuaraan itu.

Tengku Abdul Rahman pula yakin pasukan Pahang akan mempamerkan mutu permainan lebih baik pada musim akan datang.

-- BERNAMA